Tujuan pengurusan koloni lebah ialah bagi mendapatkan madu lebah serta lain-lain produk sampingan seperti bee pollen, royal jeli dan sebaginya. Produk madu lebah dikawal oleh undang-undang Malaysia ia itu Akta Makanan 1983 (Akta 121) serta Peraturan-Peraturan yang dibuat di bawahnya. - Hubungi kami di : rosellebeefarm@gmail.com

Friday, 5 December 2014

PROSPEK EKONOMI TERNAKAN LEBAH MADU MELIFERA

Akhbar Utusan Malaysia melaporkan melaporkan bahawa penternakan 10 koloni lebah eropah mampu menjana pendapatan bulanan sehingga RM 1,500.00 dan boleh diternak di keliling rumah atau kebun yang bersaiz kecil.


Sila baca petikan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 10 Mei 2013 sebagaiamana berikut :-


Yahaya Yaacob menunjukkan koloni lebah dari Australia yang menghasilkan madu berkualiti
tinggi dalam projek perintis penternakan lebah Apis Melifera di Pasir Puteh, semalam.


PASIR PUTEH 9 Mei - Pejabat Pertanian Daerah Pasir Puteh membekalkan lebah jenis mudah diternak, Apis Melifera dari Australia yang mampu menghasilkan madu berkualiti tinggi kepada pengusaha berdaya maju di sini untuk meningkatkan pendapatan mereka.
Penolong Pegawai Pertanian, Yahaya Yaacob berkata, projek penternakan lebah dari Melbourne ini mampu menjana hasil pendapatan sampingan sehingga RM1,500 sebulan dengan kapasiti penternakan 10 koloni lebah sama ada di persekitaran rumah atau kebun yang sempit.
Beliau berkata, pihaknya terpaksa membuat pemilihan penternak untuk diagihkan baka lebah dari spesies berkenaan bagi memastikan projek ini dapat dilaksanakan sehingga berjaya.
Katanya, setiap penternak yang terpilih menerima satu kotak sarang penternakan dan koloni 1,500 hingga 2,000 anak lebah untuk diternak pada peringkat permulaan.
"Serangga madu ini akan meningkat bilangannya dari semasa ke semasa sehingga mencecah 5,000 ekor. Lebah mudah diternak kerana sifatnya yang jinak.
"Penternak perlu membuat pecahan koloni apabila jumlah lebah meningkat. Penternakan perlu mengikut kaedah yang betul bagi memastikan serangga ini sentiasa aktif untuk memungut madu pelbagai jenis bunga di sekitar dua kilometer dari sarangnya," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Yahaya berkata, pada peringkat pertama penternak terpaksa menunggu selama empat bulan untuk memperoleh madu dan selepas tempoh itu hasilnya boleh dipungut pada setiap bulan.
Beliau berkata, proses penghasilan madu lebih cepat pada musim bunga manakala pada musim hujan terutama penghujung tahun, penternak terpaksa menyediakan air gula untuk diproses menjadi madu di samping mengelak koloni serangga itu meninggalkan kotak sarangnya ke tempat lain.
"Kawasan yang sesuai untuk menempatkan kotak sarang serangga itu ialah di bawah pokok kelapa, belimbing atau pokok yang mempunyai banyak bunga sepanjang tahun.
"Penternak juga perlu mengawal koloni daripada ancaman serangga lain seperti semut, lipas dan serangga tebuan bagi membolehkan mereka mendapat hasil madu yang baik," katanya.
Bagaimanapun, katanya, sehingga kini hanya seorang penternak diberi peluang mengusahakan penternakan ini sebagai projek perintis yang telah diusaha sejak empat bulan lalu dengan hasil yang memberangsangkan.
"Projek ini boleh diperluaskan bagi membantu penternak terutama masyarakat petani mengusahakannya sebagai sebahagian alternatif menjana pendapatan sampingan. Namun, sekiranya projek penternakan ini dilaksanakan secara komersial dalam skala yang besar, tidak mustahil petani yang menceburinya berjaya tampil sebagai usahawan madu yang berjaya," katanya.




REZEKI USAHAWAN MUDA
SHAIFUL HIZAM menunjukkan koloni lebah
 yang diusahakan di ladang Carambola Bee Farm 
yang terdapat di beberapa tempat seperti Semenyih, 
Selangor dan Parit Sikom, Simpang Renggam, Johor.


TIGA tahun lalu, Shaiful Hizam Harman pernah berkobar-kobar untuk menternak burung walit. Namun, hasratnya terbantut apabila dia kekurangan maklumat mengenai penternakan haiwan itu.
Ternyata ada hikmah di sebalik semua itu, kerana selepas puas berfikir dia kemudian memilih untuk menternak lebah madu.
“Sekitar 2007, memang saya terfikir untuk masuk dalam industri pemakanan kerana saya sendiri merupakan pengusaha gimnasium yang terletak di Wangsa Maju, Kuala Lumpur. Saya lihat masyarakat moden hari ini lebih menitik beratkan pemakanan mereka.
“Bagaimanapun ia terpaksa dilupakan kerana selain kekurangan maklumat, saya mendapati permintaan untuk sarang burung itu pun lebih menjurus kepada pasaran China,” katanya.
Permintaan tinggi
Namun begitu, tidak lama selepas itu dia teringat tentang khasiat madu seperti yang pernah dibacanya dalam hadis Rasulullah.
“Saya mula membuat kajian tentang tawaran dan permintaan madu di seluruh dunia. Saya baca laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Pertanian Australia, Amerika Syarikat dan Eropah,” katanya.
Kebanyakannya mendedahkan permintaan madu dari luar negara sangat tinggi sedangkan pengeluaran bahan itu sangat kurang.
“Seperkara lagi, modal yang diperlukan untuk memulakan industri lebah madu masih kecil iaitu kira-kira RM12,000 berbanding RM250,000 untuk industri sarang burung walit,” katanya.
Selama setahun, Shaiful mula melihat laman-laman web dan belajar mengenai lebah menerusi video YouTube selain melawat beberapa ladang lebah madu di sekitar Selangor.
Hari ini, usahawan muda itu mampu meraih pendapatan kira-kira RM8,000 sebulan melalui lima kotak atau koloni lebah yang dihuni oleh 70,000 ekor lebah bagi setiap kotak.
Lebah bersifat sensitif
“Tidak susah untuk memulakan industri lebah madu. Ia boleh dibuat di belakang rumah atau ditumpang di kebun buah-buahan. Risikonya kurang kerana jika satu koloni lebah diserang penyakit seperti bakteria atau fungus, ia tidak berjangkit kepada koloni yang lain,” katanya.
Pada pendapat beliau, lebah bersifat sensitif, amat mengenang jasa dan setia kepada tuan yang memeliharanya.
“Saya pernah berhadapan dengan kesulitan kewangan pada awal tahun 2009. Apa yang saya buat tidak menjadi. Saya duduk di hadapan kotak-kotak lebah saya dan menceritakan masalah saya. Saya meminta lebah-lebah ini keluar untuk mendatangkan madu dengan jumlah yang banyak,” katanya.
Beliau hampir menitiskan air mata apabila doanya dimakbulkan Allah, dengan lebah-lebahnya mengeluarkan berkilogram madu.
“Saya hanya berada di kawasan ternakan lebah dua atau tiga kali seminggu. Tetapi mungkin lebih kerap jika perlu menguruskan pemindahan lebah ke tempat baru. Sekali pergi saya akan berada untuk tempoh sejam atau dua bagi menguruskan semua koloni lebah,” katanya.
Antara yang terbaik
Beliau berharap orang ramai agar membuka mata terhadap industri yang amat berpotensi itu.
Di Malaysia, madu yang terhasil menerusi kerajinan lebah mencari manisan daripada pokok gelam, akasia (sejenis pokok kayu balak), nanas dan belimbing, mempunyai bau yang lebih kuat.
Ia menyamai madu dari New Zealand yang terhasil daripada lebah-lebah yang terbang mencari manisan dari pokok manuka.
Pada masa ini, Shaiful hanya menjual madu yang dibotolkan dengan jenama Madu Tree secara dalam talian pada harga RM44 bagi 500 gram berbanding RM98 (500 gram) madu yang diimport.
Shaiful menawarkan madu asli dan asas ternakan lebah yang boleh diperoleh melalui laman web http://carambolabeefarm.blogspot.com. – Bernama
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0211&pub=Kosmo&sec=Varia&pg=va_01.htm#ixzz3L4cqMEWG 
Hakcipta terpelihara 


No comments:

Post a Comment